BLOG PENDIDIKAN ISLAM SKKS
SELAMAT DATANG KE BLOG WAN SOLEHHAH BT WAN MD ZIN (D20112054061)
Monday, 18 March 2013
Tahniah..
Sekalung tahniah buat peserta Tilawah Al Quran, Adik Muhamad Rifqi kerana telah berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan Tilawah Al Quran (MTQ) Adik Atiqah Pahizul tempat kedua bercerita perempuan dan peserta nasyid sekolah kumpulan al aulad yang mempersembahkan nasyid dengan baik dan mantop. Tahniah buat semua guru pembimbing MTQ Semoga terus berjaya dan lebih cemerlang..
Tuesday, 29 January 2013
Monday, 12 November 2012
MENGATASI KELEMAHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Bagi seorang guru, maksud pengajaran perlu dan wajib difahami sebelum
mereka masuk ke dalam bilik darjah. Pengajaran merupakan satu proses aktiviti
yang khususnya disusun untuk membawa perubahan kepada pelajar. Sebagai seorang
guru, banyak amalan perlu dilakukan agar pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas menjadi berkesan dan bermakna kepada pelajar. Suasana pembelajaran dan
pengajaran guru akan menjadi hambar dan tidak bermakna kepada pelajar sekiranya
mutu pengajaran dan pembelajaran tidak berada pada tahap yang memuaskan. Ini
adalah kerana pengajaran dan pembelajaran adalah satu proses penyampaian ilmu
pengetahuan. Justeru, amalan pengajaran dan pembelajaran yang sempurna dan
meyakinkan perlu disi dengan mengutamakan objektif secara jelas, tepat serta
mudah difahami. Strategi pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dengan
sebaik mungkin supaya matlamat pengajaran tercapai malah pelajar dan guru akan
sama-sama berasakan puas setelah tamat satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran.
Manakala pembelajaran
pula merupakan suatu proses pengenalpastian tentang sesuatu yang boleh
memberikan kefahaman kepada pelajar melalui proses mempelajari sesuatu yang
berlaku samada secara formal atau tidak formal. Marton & Booth menyatakan
bahawa pembelajaran ialah “learning is about how we perceive and understand the
world, about making meaning”. Ini menunjukkan bahawa bentuk pembelajaran boleh
merupakan sesuatu prinsip yang abstrak, maklumat serta fakta, pemerolehan
kaedah, teknik dan pendekatan untuk melakukan sesuatu serta penaakulan. Oleh
itu, pembelajaran adalah perubahan yang berlaku dalam perlakuan pelajar yang di
didik hasil daripada penglibatannya dalam suatu pengalaman pendidikan.
Tindakan untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran guru
Untuk memenuhi tujuan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran agar ia
lebih berkesan beberapa pendekatan dan amalan-amalan tertentu untuk membantu
guru dalam pengajarannya haruslah diberi keutamaan, antaranya;
1. Mengaplikasi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan
berkesan
Sebenarnya tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran
bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan
masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah
yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.
Berikut adalah sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu
kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1. Kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2. Kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yanghendak dicapai
3. Kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran
yang diajar
4. Kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5. Kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6. Mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah bekenaan
7. Kaedah yang dipilih
mestilah sesuai dengan kemudahan yang sedia ada.
Guru juga boleh memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan
sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada
jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi
tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan
bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih
pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan
Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan
strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping
itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi
pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya
dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut,
iaitu:
1. Tujuan am (learning goal)
2. Objektif pelajar (specific objective)
3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktiviti tertentu
untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar
5. Penilaian (sumative evaluation) untuk menguku pencapaian pelajar
Pengajaran dan
pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak
memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu
menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang
didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk
mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan
menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah
dia guru yang efektif (effective teacher).
Tugas utama seorang guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar.
Untuk memenuhi tugas ini, pengajar atau guru bukan sahaja harus dapat
menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga
menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan
suasana pembelajaran yang dapat merangsangkan minat pelajar di samping sentiasa
memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar. Justeru sebagai pendidik atau guru,
hendaklah berusaha untuk menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan dalam
pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan pelajar yang kreatif, berani
mencuba, rajin dan tekun sebagaimana yang diperlukan untuk melahirkan modal
insane yang cemerlang.
1.1. Kaedah Pemusatan Bahan
Proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah
atau di luar bilik darjah. Apa yang penting kaedah pengajaran yang disampaikan
mempunyai arahan yang jelas, tepat dan mudah difahami oleh para pelajar. Kaedah
Pemusatan Bahan melibatkan kaedah dan teknik seperti gambar, audio visual,
penggunaan computer, penggunaan bahan cetak dan banyak lagi.
1.2. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran berpusatkan Pelajar
Aktiviti pengajaran dan
pembelajaran berpusatkan pelajar membolehkan para pelajar menumpukan sepenuh
perhatian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Setiap
aktiviti yang dilakukan di dalam bilik darjah dilaksanakan dengan penuh
bersemangat dan tekun dengan harapan agar segala ilmu yang disampaikan kepada
para pelajar akan dapat digunakan sebaik mungkin demi untuk melahirkan para
pelajar seimbang dan harmonis seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, guru akan menggalakkan pelajar
untuk berfikir dan memberikan keyakinan kepada pelajar untuk memberikan jawapan
sambil membimbing pelajar untuk memberikan respons yang relevan dengan tugasan
ataupun soalan yang diberikan. Setelah para pelajar dapat menjawab segala
soalan yang diajukan, penumpuan kepada respons dan jawapan yang mereka berikan
secara lisan dapat diberikan. Seterusnya guru juga dapat memberikan panduan
untuk pelajar membetulkan dan membuat penambahbaikan terhadap jawapan yang
ditulis di papan tulis agar keadaan kelas terkawal dan para pelajar lain tidak
terdorong untuk membuat bising sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung.
Di samping itu guru juga harus memberikan sepenuh perhatian kepada semua
pelajar di dalam kelas saya tanpa mengira perbezaan tahap penerimaan mereka.
Aktiviti yang berpusatkan pelajar yang dilakukan di dalam bilik darjah boleh
dianggap berjaya apabila para pelajar menunjukkan prestasi yang menggalakkan
dalam setiap peperiksaan yang diadakan.
1.3. Kaedah hubungan komunikasi dua hala
Hubungan komunikasi dua
hala ini yang dimaksudkan ialah hubungan antara guru dengan pelajar. Kemahiran
komunikasi merupakan salah satu elemen yang sangat penting dalam tatacara
perhubungan guru dengan pelajar. Cronbach (1977), menyatakan kepentingan
pemboleh ubah ’ketertiban’ dalam pencapaian guru, sifat peramah dan tingkahlaku
guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Hubungan komunikasi
di sekolah melibatkan hubungan antara guru dengan pelajar. Guru yang
berdedikasi akan mengenali para pelajarnya kerana apabila seseorang guru itu
mengetahui tentang latar belakang pelajarnya, setiap permasalahan yang timbul sewaktu
proses pengajaran dan pembelajaran dapat dianalisis oleh guru. Sebagai
contohnya, seseorang guru yang amat menitiberatkan tentang hubungan dengan para
pelajar dengan sendirinya berjaya mengambil hati para pelajar sekaligus
menyebabkan kelas dalam keadaan terkawal sepanjang proses pengajaran dan
pembelajaran berlangsung. Dalam proses pembelajaran, kasih sayang, persefahaman
dan saling memahami antara guru dan murid amat penting.
2. Mengurus Bilik Darjah dengan berkesan
Untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah
setiap guru harus memahami peranannya sebagai pengurus bilik darjah yang baik
berasaskan elemen-elemen pengurusan iaitu merancang, mengelola, mengarah dan
mengawal. Ini bermakna guru sebagai pengurus bilik darjah memainkan peranan
sebagai perancang, pengelola, pengarah dan pengawal. Justeru itu, untuk menjadi
pengurus bilik darjah yang berkesan, guru hendaklah memahami elemen-elemen
pengurusan bilik darjah serta berusaha menguasai kemahiran-kemahirannya. Antara
elemen-elemen yang termasuk dalam bidang pengurusan kelas ialah seperti
berikut;
2.1. Kawalan Kelas yang mantap
Demi untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung
juga, elemen kawalan kelas yang mantap perlu diwujudkan. Kemahiran mengawal
kelas tidak datang secara semulajadi, pelbagai ilmu dan kemahiran diperlukan
untuk mewujudkan kawalan kelas yang mantap. Oleh yang demikian, para guru
seharusnya berusaha mencuba mencari jalan dan penyelesaian yang terbaik untuk
menjadikan para pelajar terkawal semasa proses P & P. Antaranya ialah;
2.1.1. Bilik Darjah mestilah kondusif
Bilik darjah yang kondusif memainkan peranan yang amat penting dalam
melancarkan proses P & P. Bilik darjah yang kotor dan tidak dijaga
menyebabkan para pelajar merasa tidak selesa untuk belajar dan guru tidak
konsisiten untuk mengajar. Oleh yang demikian, dalam usaha mewujudkan kawalan
kelas yang mantap, bilik darjah yang kondusif amatlah penting.
Sebelum memulakan sesi
pengajaran dan pembelajaran para guru hendaklah terlebih dahulu memastikan
persekitaran bilik darjah dalam keadaan bersih dan tersusun. Guru hendaklah
memastikan para pelajar dalam keadaan bersedia untuk proses pengajaran dan
pembelajaran berlangsung. Sekiranya terdapat sampah atau kotoran yang kurang
menyenangkan, para guru hendaklah mengarahkan pelajar membersihkannya. Demikian
juga dengan susunan meja dan kerusi di dalam bilik darjah hendaklah dalam
keadaan tersusun dan teratur. Hal yang demikian mencerminkan para guru
mementingkan disiplin diri setiap pelajar dan secara tidak langsung guru telah
menyediakan pelajar untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang
seterusnya.
2.1.2. Konsep Emotional Intelligence.
Antara kaedah
pengajaran lain yang dicadangkan untuk menjadikan para pelajar terkawal semasa
proses pengajaran dan pembelajaran ialah penggunaan Konsep Emotional
Intelligence. Konsep ini dipopularkan oleh Danial Coleman (1995). Terdapat tiga
aspek intrapersonal dalam konsep ini iaitu;
2.1.3. Kebolehan mengendalikan emosi sendiri, atau ‘to know your emotions.’
Penerapan aspek ini sangat penting bagi guru dan pelajar. Sebelum memasuki
kelas untuk mengajar, guru hendaklah memastikan bahawa dia telah bersedia dari
aspek mental dan fizikal dan berharap para pelajar juga bersedia untuk menerima
ilmu dan maklumat yang ingin diajar atau disampaikan nanti. Hal ini kerana
pengendalian emosi amat penting agar kita dapat mengenali emosi atau perasaan
dan keperibadian sendiri. Oleh yang demikian adalah mudah untuk menentukan
sasaran dan matlamat yang ingin dicapai.
2.1.4. Kebolehan mengawal emosi
Sebagai seorang guru, kebolehan mengawal emosi amat penting kerana untuk
mewujudkan kawalan kelas yang mantap, setiap tutur kata haruslah dijaga supaya
tidak menimbulkan rasa kecil hati atau kemarahan para pelajar. Apabila masalah
pelajar kecil hati atau tersinggung dengan tutur kata guru, maka akan wujudlah
perasaan benci atau memberontak dalam jiwa pelajar dan ini akan mendorong para
pelajar terlibat dalam masalah disiplin seperti mengganggu kelas, bising,
ponteng kelas dan sebagainya.
2.1.5. Kebolehan mengawal dan mengimbang tenaga, pendirian, desakan dan
kepuasan diri.
Penerapan aspek ini dalam diri pelajar adalah penting kerana dengan mempunyai
kebolehan ini, mereka dapat mengawal diri dan menetapkan pendirian walaupun
terdapat desakan dan pengaruh untuk melibatkan diri dengan gejala negative.
Sekiranya seseorang guru dapat memahami perbezaan tahap kebolehan pelajar, ia
akan lebih memudahkan lagi guru mengawal para pelajardi dalam kelas semasa
proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Rumusannya, kawalan kelas yang mantap merupakan mekanisme kawalan yang
sangat penting dalam memastikan para pelajar dapat memberikan tumpuan yang
sepenuhnya di dalam kelas dan seterusnya dapat mengelakkan mereka terlibat
dalam masalah disiplin yang boleh menjatuhkan reputasi sesebuah sekolah.
3. Aktiviti Pembelajaran
Tujuan utama mengadakan pengajaran ialah mewujudkan aktiviti pembelajaran.
Malah, keberkesanan pengajaran bergantung kepada kebolehan menggunakan
kemahiran mengajar yang berjaya memudahkan aktiviti pembelajaran murid.
Seharusnya segala usaha pengajaran adalah semata-mata ditumpukan untuk
merangsangkan murid supaya menggerakkan mereka belajar. Oleh itu, pengajaran
mempunyai dua fungsi utama iaitu merangsangkan pembelajaran dan mewujudkan
situasi pembelajaran yang berkesan. Untuk mewujudkan situasi aktiviti
pembelajaran yang bermutu para guru haruslah bijak mengaplikasikan
perkara-perkara berikut;
3.1. Membekalkan motivasi
Pengurusan kelas yang konvensional atau biasa, beranggapan bahawa
pelajar-pelajar mestilah dimotivasikan melalui sesuatu selain daripada
kandungan pembelajaran. Ganjaran luar berupa grades/pangkat, pujian,
recognition, treats/belanja, dan kebebasan/privilege adalah faktor yang
dikenalpasti sebagai prime/ perangsang utama dalam pembelajaran
pelajar-pelajar. Sebaliknya, pengurusan kelas yang cemerlang menganggap
pelajar-pelajar haruslah dimotivasikan melalui kandungan pembelajaran itu
sendiri.
Sebagai contohnya,
tugasan Matematik seharusnya menyeronokkan, tugasan membuat karangan seharusnya
menarik perhatian, dan pembelajaran yang menggunakan bahasa asing merupakan
sesuatu yang mengujakan. Bagi guru dan pelajar yang berkeadaan dalam pengurusan
konvensional, matlamat seumpama ini adalah semata-mata tidak praktikal dan
adakalanya mustahil. Manakala bagi pengurusan yang cemerlang, perkara ini
adalah sebagai keperluan dan asas yang rutin dalam motivasi pelajar. Hal ini
sangat berperanan pada kemajuan, perkembangan pelajar selanjutnya melalui
proses belajar. Bila motivasi guru tepat mengenai sasaran akan meningkatkan
kegiatan belajar. Dengan tujuan yang jelas pelajar akan belajar lebih tekun,
lebih giat dan bersemangat.
Pembelajaran hanya
berlaku atas usaha sendiri, mengikut motif atau motivasi tersebut. Oleh itu, di
dalam bilik darjah tugas pengajaran ialah membekalkan motivasi tersebut sebagai
rangsangan untuk menimbulkan minat dan menggerakkan mereka belajar.Disamping
itu, segala aktiviti pengajaran adalah ditujukan untuk menghasilkan aktiviti
pembelajaran yang berkesan. Dengan perkataan lain, objektif utama pengajaran
ialah membawa hasil pembelajaran dengan membentuk perubahan tingkah laku dari
satu tahap yang rendah ke suatu tahap yang lebih tinggi.
3.2. Kaedah demostrasi
Pengajaran tidak akan menjadi bermakna sekiranya ia gagal mewujudkan
situasi pembelajaran yang berkesan. Sesunguhnya segala pendekatan, strategi,
kaedah dan teknik mengajar adalah berlandaskan kepada segala teori dan ciri
pembelajaran. Hal ini adalah untuk memastikan bahawa segala usaha pengajaran
akan menghasilkan aktiviti pembelajaran dengan berkesan. Justeru itu, kaedah
demonstrasi serta strategi pembelajaran seperti strategi pemusatan murid dan
bahan adalah berhubung rapat dengan keberkesanan mengurus aktiviti pembelajaran
di dalam bilik darjah.
3.3. Aktiviti Pengayaan dan Pemulihan
Aktiviti-aktiviti yang biasanya dijalankan dalam sudut atau ruang
pembelajaran ialah aktiviti pengayaan dan pemulihan, aktiviti sokongan,
aktiviti bacaan tambahan, perbincangan, bercerita dan aktiviti jual-beli.
Disamping itu, ruang-ruang pembelajaran juga digunakan untuk mempamerkan
bahan-bahan pelajaran dan hasil kerja atau murid-murid dalam kelas.Dalam kerja
pengurusan sudut dan ruang pembelajaran, guru harus memastikan bahawa sudut dan
ruang itu adalah dikelolakan dalam keadaan yang kemas dan teratur serta
dilengkapkan dengan bahan-bahan pelajaran yang sesuai digunakan oleh
murid-murid yang menjalankan aktiviti pembelajaran. Untuk mencapai tujuan ini,
guru boleh melantik seorang ketua daripada kumpulan murid untuk membantunya
supaya menjaga dan membimbing rakan-rakan sedarjah menggunakan ruang dan sudut
pembelajaran dengan cara yang betul.
4. Memahami fungsi-fungsi pembelajaran.
Fungsi-fungsi
pembelajaran boleh di huraikan menerusi beberapa prinsip antaranya ialah:-
4.1. Perhatian
Semasa mengajar guru perlu dapat membangkitkan perhatian pelajar kepada
pelajaran yang diajarkan oleh guru. Perhatian akan memberi impak yang lebih besar
apabila pelajar mempunyai minat dan bakat. Bakat merupakan suatu keperibadian
yang telah dipunyai oleh seseorang pelajar sejak kecil lagi namun ianya dapat
berkembang kerana pengaruh pendidikan dan persekitaran. Perhatian dapat
ditimbulkan secara langsung kepada pelajar kerana mereka sudah tahu tujuan dan
kegunaan mata pelajaran yang diperolehinya. Manakala perhatian secara tidak
langsung yang baru dapat dirangsang menerusi kaedah pengajaran yang menarik,
ransangan untuk berfikir serta menghubungkan pengetahuan yang telah dimiliki.
Apabila pelajar mempunyai perhatian di dalam kelas, maka dengan mudah pelajaran
yang diajarkan dapat diterima, dihayati, diolah sehingga pelajar tersebut mampu
menghubungkan antara suatu pengetahuan dengan pengetahuan yang lain.
Oleh yang demikian, menarik perhatian pelajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran diperlukan supaya guru dapat mengawal keadaan bilik darjah dengan
baik dan melahirkan pelajar-pelajar yang dapat memberikan perhatian di dalam
sesuatu perkara yang penting dalam hidup mereka khususnya pembelajaran akademik
di dalam kelas.
4.2. Aktiviti
Dalam proses mengajar
pelajar, guru perlu melakukan aktiviti samada berfikir mahupun melakukan atau
melaksanakan sesuatu aktiviti. Hal ini mampu memberi kesan yang baik kepada
pelajar itu sendiri iaitu ilmu yang diajarkan tidak berlalu begitu sahaja
tetapi dapat difikirkan, diolah kemudian dikeluarkan dalam bentuk yang berbeza.
Melalui aktiviti juga membolehkan pelajar bertanya, mengajukan pendapat serta
melakukan perbincangan dengan guru serta mematuhi arahan guru yang mengajar,
melaksanakan tugas, membuat grafik, diagram serta maklumat yang diberikan oleh
guru. Apabila pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti maka pelajar lebih
mudah memiliki dan menggunakan ilmu itu dengan baik. Justeru, aktiviti perlu
dilaksanakan dan diberikan perhatian dalam memastikan fungsi pembelajaran
digunakan sepenuhnya agar tumpuan pelajar dapat dikumpulkan pada satu titik
fokus utama. Dengan ini, akan lahirlah pelajar yang kreatif menggunakan ruang
dan peluang yang ada untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka seharian.
4.3. Integrasi
Menghubungkan pembelajaran yang baru dengan pengetahuan atau pengalaman
yang sedia ada dapat menjadikan pelajar berfikir dengan kreatif dan kritis.
Proses ini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar
serta membantu pelajar untuk memerhatikan pelajarannya dengan lebih baik.
Hal ini sedikit sebanyak melahirkan pelajar-pelajar yang dapat
mengadaptasikan pengetahuan yang mereka pelajari di dalam bilik darjah dengan
kehidupan sebenar mereka diluar khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran
kehidupan mereka di masa-masa yang mendatang.
Semua pelajaran yang diberikan kepada pelajar perlu diintegrasikan,
sehingga pelajar memiliki pengetahuan bersepadu iaitu tidak terpisah-pisah.
Kebiasaannya, pelajar hanya menerima proses pengajaran dan pembelajaran yang
dilakukan oleh guru sahaja seandainya guru tersebut tidak menggunakan teknik
dan kaedah yang bersesuaian dalam mengajar. Namun yang demikian, guru
seharusnya memainkan peranan mengajar dan menghubung kaitkan diantara sesuatu
topik dengan topik yang lain yang berkaitan agar para pelajar peka dan memahami
serta dapat mengaplikasikannya dengan baik. Hal ini dapat menjamin penguasaan
pelajar di dalam proses pembelajaran serta memberikan ruang untuk guru
menggunakan kawalan yang minima di dalam kelas kerana pelajar itu sendiri sudah
terdorong untuk fokus atau memberikan tumpuan disepanjang proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Oleh yang demikian, guru perlu kreatif semasa
mengajar supaya proses pembelajaran dapat dikaitkan antara satu konsep dengan
satu konsep yang lain yang berkaitan agar minat pelajar dapat mendorong mereka
menjadi pelajar yang berkeyakinan dan berjaya di dalam kelas dengan
mengintegrasikan pengetahuan yang baru dan sedia ada.
Mata pelajaran yang diajar di sekolah seharusnya diintegrasikan berpadu
menjadi suatu ilmu yang bersepadu. Pelajaran yang dipelajari bukan sekadar
pengetahuan dalam bilik darjah sahaja, bahkan bermanfaat di luar kelas serta
dalam kehidupan seharian mereka. Pelajaran di sekolah perlu dihubungkan dengan
kehidupan nyata dalam masyarakat. Pengetahuan sedia ada pelajar dapat
mengukuhkan kefahaman pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Aspek kemasyarakatan tidak boleh dipandang remeh oleh guru.
Dalam norma ketamadunan manusia, setiap individu pasti akan menghadapi,
mendepani, berinteraksi dan bergaul dengan masyarakat di sekeliling mereka.Oleh
itu, guru sangat berperanan di dalam menyelitkan unsur dan pendidikan yang
bercorakkan masyarakat. Guru bukan semata-mata mengajarkan sesuatu mata
pelajaran tetapi juga mendidik pelajar khususnya dalam menyesuaikan diri di
dalam masyarakat. Namun, perlu diingat bahawa, elemen kemasyarakatan mestilah
berbudaya atau bercorakkan masyarakat.
Oleh itu, guru sangat berperanan di dalam menyelitkan unsur dan pendidikan
yang bercorakkan masyarakat. Guru bukan semata-mata mengajarkan sesuatu mata
pelajaran tetapi juga mendidik pelajar khususnya dalam menyesuaikan diri di
dalam masyarakat. Namun, perlu diingat bahawa, elemen kemasyarakatan mestilah
berbudaya atau bercorakkan masyarakat setempat agar penerapan yang dilakukan
oleh guru dapat diterima oleh pelajar dan ibubapa mereka serta masyarakat di
sekitarnya.Dengan mengaitkan elemen pendidikan di dalam bilik darjah dengan
kehidupan nyata di dalam masyarakat, para pelajar dapat membuka ruang untuk
diri mereka sendiri merasai dan menghayati pendidikan yang sedang diajarkan
oleh guru mereka. Ini adalah kerana pelajar itu sendiri biasanya sudah memiliki
pengetahuan asas dalam kehidupan mereka, hanya mereka kurang berkemampuan untuk
mengaitkan antara proses pembelajaran atau ilmu pengetahuan yang mereka peroleh
dengan kehidupan sebenar di luar sana. Justeru, perkaitan yang terbina di dalam
kelas dengan menghubungkaitkan pembelajaran di dalam kelas dengan kehidupan
masyarakat setempat dapat menjadikan agen kawalan bagi guru di dalam proses
pembelajaran di dalam kelas.
4.4. Pengulangan
Tidak semua pelajar mempunyai tahap yang sama di dalam proses mengingati
tentang sesuatu pembelajaran yang diajarkan kepada mereka. Oleh itu,
pembelajaran yang dibantu ulang untuk proses mengingati diperlukan untuk
memberikan tanggapan yang lebih jelas dan tidak mudah dilupakan. Perkara ini
boleh dinyatakan apabila kita mengulang dengan cara dan kaedah yang baik di
dalam bilik darjah, semakin lama ia akan menjadi semakin jelas sehingga dapat
digunakan oleh pelajar untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.
Pengulangan secara teratur, pada waktu-waktu yang tertentu atau setelah setiap
topik itu diberikan, maka ia sangat membantu proses pengajaran dan
pembelajaran. Hal yang demikian memberikan pengetahuan kepada pelajar bahawa
pengulangan merupakan suatu proses pendidikan yang mereka boleh aplikasikan
dalam kehidupan mereka. Ini menjadikan bahawa proses pengulangan adalah suatu
konsep bagi fungsi pembelajaran itu sendiri.
4.5. Sosialisasi
Dalam diri seseorang pelajar, mereka perlu terdedah kepada pergaulan sosial
yang bermanfaat bagi menjadikan diri mereka satu generasi yang mampu menjadi
kebanggaan bagi sesebuah masyarakat, bangsa, negara dan agama. Ini adalah
kerana, pelajar merupakan individu yang mempunyai segi sosial yang perlu
diperkembangkan. Dengan itu, adalah suatu kebaikan jika para pelajar diberikan
ruang dan peluang untuk menjalankan aktiviti bersama-sama dengan rakan sekelas
mereka supaya pergaulan sosial dapat dipelajari secara tidak langsung melalui
aktiviti berkumpulan bersama-sama rakan mereka di dalam kelas. Perkara ini
dengan sendirinya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang saling bekerja sama
antara satu sama lain, saling bergotong royong dan saling tolong menolong.
Penerapan sosialisasi ini dapat membuka pemikiran pelajar bahawa banyak
permasalahan tidak dapat diselesaikan secara bersendirian tetapi boleh
diselesaikan dengan bantuan orang lain. Selain itu, bekerja di dalam satu
pasukan juga mampu meningkat cara pelajar itu berfikir sehingga dapat
memecahkan masalah dengan baik dan lancar. Oleh yang demikian, sosialisasi atau
pergaulan sosial dapat terbina dan menjadikan pelajar mampu untuk
mengaplikasikan kewibawaan untuk menempatkan diri di dalam masyarakat kelak.
Oleh yang demikian, melalui beberapa prinsip yang dinyatakan diatas dapat
memberikan gambaran bahawa perhatian, aktiviti, integrasi, pengulangan dan
sosialisasi dapat menjadi satu fungsi pembelajaran efektif yang berperanan bagi
pendidik dalam menguruskan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
5. Menghayati syarat-syarat pengajaran dan pembelajaran yang efektif
Untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif memerlukan
syarat-syarat yang berikut:
5.1. Variasi method pengajaran
Semasa belajar, pelajar harus mengalami aktiviti mental. Misalnya pelajar
dapat mengembangkan kemampuan intelektualnya, kemampuan berfikir secara kritis,
kemampuan menganalisis, kemampuan mengucapkan pengetahuannya, manakala guru
harus menggunakan banyak method pada waktu mengajar.
Variasi method mengakibatkan penyajian bahan pelajaran lebih menarik
perhatian pelajar, mudah diterima pelajar, dan kelas menjadi hidup. Kaedah
persembahan yang selalu sama akan membosankan pelajar.
5.2. Menimbangkan perbezaan individu (pelajar)
Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru juga perlu menimbangkan
perbezaan individual antara pelajar. Terdapatnya perbezaan bakat dan kebolehan
di antara pelajar yang perlu diuruskan dengan baik di dalam bilik darjah.
Perbezaan bakat dan kebolehan antara pelajar di dalam sesebuah kelas di mana
terdapat kecekapan dan ketangkasan pelajar berbeza secara individual.
Ada di antaranya yang cerdik dan cerdas sehinggakan mampu untuk menerima
dengan cepat ilmu pelajaran yang disampaikan kepadanya. Tahap ini merupakan
tahap keboleh-penerimaan yang tinggi. Namun, perlu diingat bahawa masih ramai
pelajar yang mempunyai tahap keboleh-penerimaan yang biasa dan rendah.
Disebabkan tahap keboleh-penerimaan yang berbeza-beza ini menyebabkan guru yang
terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas perlu
menyeimbangkan kaedah, skop serta aktiviti pembelajaran agar semua pelajar yang
mempunyai tahap penerimaan yang berbeza dapat mengikuti pembelajaran dengan
baik. Dengan cara ini, ianya dapat mengembangkan kemampuan-kemampuan pelajar secara
individual.
Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai tahap keboleh-penerimaan yang tinggi
hanya perlu mendapat penerangan yang lebih ringkas kerana pengetahuan sedia ada
serta kebolehan memahami yang cepat. Ini berbeza dengan pelajar yang berada
pada tahap sederhana dan rendah yang memerlukan lebih penerangan dan kaedah
yang lebih mudah difahami supaya mereka dapat mengikuti memahami pelajaran
dengan baik. Oleh yang demikian, perbezaan individual perlu dipertimbangkan
agar guru dapat menggunakan teknik dan kaedah yang sesuai untuk semua pelajar
dan memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk mendapat ilmu pengetahuan
yang diajarkan.
5.3. Perencanaan sebelum mengajar
Dalam memastikan sesuatu pembelajaran dapat dilakukan dengan baik, maka
sebuah perencanaan perlulah dilakukan oleh guru yang mengajar supaya proses
pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan lancar. Ini dapat dilihat
dari sudut perencanaan yang terperinci dengan turutan perencanaan tersebut
sebagai alat rujukan. Perencanaan sebelum mengajar perlu mempunyai objektif,
teknik dan kaedah yang akan digunakan semasa, serta penanda aras kefahaman para
pelajar terhadap penguasaan sesuatu topik pengajaran dan pembelajaran.
Dengan persiapan mengajar, guru akan mantap di hadapan kelas, perencanaan
yang matang dapat menimbulkan banyak inisiatif dan daya kreativiti guru sewaktu
mengajar serta dapat meningkatkan interaksi belajar dan mengajar antara guru
dan pelajar.
Dengan adanya perencanaan sebelum mengajar ini, ia bukan sahaja memberikan
suatu kemudahan kepada guru untuk mengajar dan mendidik dalam proses pengajaran
dan pembelajaran, malah pelajar turut mudah mengikuti dan memahami pembelajaran
yang diajarkan oleh guru tersebut. Perkongsian pemudahcara yang dilakukan oleh
guru sebelum mengajar ini mampu memberikan kesan yang lebih baik serta lancar
kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Oleh yang demikian, perencanaan sebelum mengajar adalah penting supaya para
guru mempunyai satu rujukan yang jitu mengikut kebolehan guru dan pelajar yang
diajarkan supaya ilmu yang ingin disampaikan dapat diajarkan oleh guru dengan
baik dan pelajar dapat menerima ilmu tersebut dengan baik juga mengikut
objektif-objektif, teknik dan kaedah serta penilaian yang dilakukan terhadap
pelajar. Pada penyajian bahan pelajaran pada pelajar, guru perlu memberikan
masalah-masalah yang boleh merangsang pelajar untuk berfikir.
5.4. Penyediaan bahan pengajaran
Semasa proses pengajaran di dalam kelas, guru sememangnya perlu menyediakan
kaedah-kaedah dan teknik mengajar dengan berkesan supaya pelajar dapat
mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik serta
menerimanya sebagai sebuah bentuk pengajaran yang menarik.
Namun yang demikian, dalam menjadikan sesebuah kelas lebih menarik serta
memberikan rangsangan minda pelajar, guru seharusnya menyediakan bahan
pengajaran yang mampu memberikan permasalahan yang boleh menyebabkan pelajar
berfikir serta merangsang daya kreativitinya untuk menyelesaikan permasalahan
tersebut. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja menerima pembelajaran secara
pasif, tetapi juga dapat terlibat aktif secara rangsangan berfikir dalam
mengikuti kelas yang dilakukan oleh guru. Semasa belajar, pelajar seharusnya
mengalami aktiviti mental seperti pelajar dapat mengembangkan kemampuan
intelektualnya, kemampuan berfikir secara kritis, kemampuan menganalisa dan
kemampuan mengucapkan pengetahuannya disamping mengalami aktiviti jasmani
seperti mengerjakan sesuatu, menyusun intisari pelajaran, membuat peta dan
lain-lainnya.
Hal ini secara langsung menjadikan pelajar tersebut memberikan fokus kepada
proses pengajaran yang berlangsung dan guru mampu mengawal proses pembelajaran
di dalam kelas dengan lebih baik dengan menjadikan permasalahan yang diberikan
sebagai pokok utama pengurusan guru di dalam bilik darjah.
Kesimpulan
Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan membawa impak yang besar kepada
guru dan juga pelajar. Sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan
dengan lancar pasti segala ilmu yang dicurahkan oleh para guru akan dapat
diadaptasikan oleh para pelajar. Demi mencapai matlamat Kementerian Pelajaran
Malaysia, diharapkan beberapa tindakan yang dicadangkan di atas dapat membantu
dalam melahirkan modal insan cemerlang, berminda kelas pertama dan bebas dari
kelemahan disiplin dan gejala yang tidak sihat.
PASTIKAN KITA LAKUKAN YANG TERBAIK HARI INI !
PASTIKAN KITA LAKUKAN YANG TERBAIK HARI INI !
Tuesday, 6 November 2012
LAWATAN SAMBIL BELAJAR TAHUN 5&6 KE YAYASAN RESTU MAK MANDIN PULAU PINANG
Subscribe to:
Posts (Atom)